*INCREASE YOUR FINANCIAL IQ
*GUIDE TO INVESTING
PEMBINAAN dua terowong berkembar MRT di bawah Jalan Bukit Bintang berjaya disiapkan dengan dua mesin pengorek (TBM) dalam syaf bertemu di Pudu. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Pembinaan dua terowong berkembar MRT di bawah Jalan Bukit Bintang berjaya disiapkan dengan dua mesin pengorek (TBM) dalam syaf bertemu di Pudu baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Amir Mahmood Razak, berkata TBM Inai 1 memecah masuk pada 16 Oktober manakala kejayaan kedua dicapai oleh TBM Inai 2 pada 21 Oktober.
"Kemajuan keseluruhan yang dicapai oleh kerja-kerja bawah tanah projek MRT kini berada pada tahap 68.5 peratus pada akhir September, manakala pembinaan terowong secara keseluruhannya mencapai 88 peratus.
"Kami hanya mempunyai dua TBM yang mengorek dari syaf Pudu menuju ke Pasar Seni. Semua kerja-kerja pembinaan terowong dijangka siap menjelang suku pertama 2015, namun kerja-kerja bawah tanah akan berterusan sehingga Disember 2016," katanya kepada pemberita di tapak syaf pelancaran MRT Pudu, hari ini.
Ketua Terowong MMC-Gamuda, Ng Hau Wei, berkata kerja-kerja pembinaan terowong sangat mencabar disebabkan keadaan geologi kawasan itu.
"Jalan Bukit Bintang melintasi dua formasi geologi di hujung Jalan Bukit Bintang sebelah timur berada di atas kawasan berbatu kapur Kuala Lumpur manakala hujung sebelah barat berada di atas formasi Bukit Kenny, peralihan antara dua formasi ini membabitkan kawasan Pavilion," katanya.
Katanya, cabaran lain termasuk penumpuan utiliti yang sangat padat dan penggunaan teknologi kejuruteraan ketepatan tinggi, termasuk TBM yang mempunyai teknologi Pemboleh Ubah Ketumpatan, berjaya menyelesaikan masalah ini.
"Di samping mampu mengurangkan pembentukan tanah jerlus, ia juga boleh berubah dari mod kolam berlumpur (ketika mengorek menerusi formasi batu kapur) kepada mod pengimbangan tekanan bumi (semasa mengorek melalui formasi Bukit Kenny) dan sebaliknya," katanya.
MRT Sungai Buloh-Kajang, sepanjang 51 kilometer (km), termasuk 9.5 km di bawah tanah, akan melalui pusat bandar.
Sebanyak tujuh stesen bawah tanah akan dibina iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang Sentral, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment